TIDAK dinafikan, pendermaan organ bukan isu baru di negara kita kerana sejak 1999 atas dasar keperluan, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ ditubuhkan. Hasil inisiatif itu, lebih 130,000 rakyat negara ini sudah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ sehingga 31 Julai tahun lalu. Angka Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula menunjukkan, sehingga September lalu, 81 peratus daripada individu yang berikrar sebagai penderma organ berusia 11 hingga 40 tahun. Kempen pendermaan organ ini diadakan dari semasa ke semasa. Malah penjawat awam yang berjanji untuk menderma organ atau menderma organ kini diberi kemudahan cuti tanpa rekod sehingga 42 hari bagi menjalani menjalani ujian dan pembedahan. Ia juga sebagai insentif menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini tampil melakukan sumbangan itu sama ada ketika hidup atau selepas kematian. Sebenarnya, ramai di antara kita memandang sepi pendermaan organ kerana tidak mengetahui terperinci mengenainya. Sehingga kini tahap kesedaran terhadap perkara itu hanya ketara di kalangan generasi muda dan remaja, sekali gus menjadikan mereka kelompok terbesar mendaftar untuk mendermakan organ. Bagaimanapun, ada juga yang berikrar untuk menderma organ tertentu gagal menunaikannya sama ada kerana takut, mendapat pandangan negatif pihak ketiga atau gagal berbuat demikian kerana perbezaan jenis darah.
Kita sedih mendengar kisah pelajar pintar dari Perlis, Mohamed Izham Salim, 18, yang menderita penyakit buah pinggang dan kecewa apabila urusan pendermaan organ untuknya terbantut biarpun banyak pihak menyatakan persetujuan untuk membantu. Beliau terkilan selepas mengetahui lebih 20 individu sudah menyatakan kesudian menderma buah pinggang kepadanya. Malah, sejak berita penderitaannya disiarkan media awal bulan lalu, sekurang-kurangnya dua individu, termasuk seorang bekas polis dari Singapura ada menghubunginya dan bersetuju menderma buah pinggang. Bagaimanapun, hasrat itu seolah-olah terbantut kerana tiada saluran khas disediakan untuk mengendalikan urusan terbabit, sekali gus menyebabkan majoriti mereka hampa. Kes seumpama ini sebelum ini, banyak membabitkan pendermaan buah pinggang di kalangan ahli keluarga pesakit dan cuma sebilangan kes membabitkan orang lain. Kita berharap kes Mohamed Izham ini dirujuk kepada Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ yang dipengerusikan Tan Sri Lee Lam Thye bagi melihat apa yang boleh dilakukan, walaupun ia cuma sebuah jawatankuasa. Malah Jabatan Kesihatan Perlis boleh mencari jalan bagaimana membantu pelajar terbabit, agar niatnya untuk meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tercapai. Sebelum ini pun, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang sanggup mendermakan buah pinggang mereka kepada Mohamed Izham, tetapi setakat ini belum ada sambutan. Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan badan khas mengendalikan kes ikrar derma organ ketika pengikrarnya masih hidup, tetapi yang sanggup berbuat demikian.
Sumber:Berita Harian 26 April 2010
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.