SEJUMLAH 25 peratus belanjawan tahunan kerajaan adalah untuk pendidikan. Peruntukan itu antara lain merangkumi kos menyediakan infrastruktur, peralatan bantuan mengajar dan skim buku teks percuma selain bantuan makanan tambahan serta pakaian seragam. Semua asas ini dinikmati sama rata setiap murid tanpa dibatasi status politik ibu bapa mereka atau lokasi sesebuah sekolah itu. Hak memperoleh pendidikan dibuka seluas-luas kepada setiap individu warga negara ini. Hak itu turut dijamin dan dilindungi Perlembagaan. Pendidikan adalah pelaburan kerajaan paling besar untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat supaya menjadi tunggak dalam proses membawa negara ke tahap negara maju menjelang 2020. Kerajaan melalui beberapa agensinya turut memberi peruntukan besar untuk membiayai pengajian pelajar di institusi pendidikan domestik mahupun universiti seberang laut. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan memperuntukkan RM1.24 bilion tahun ini untuk menaja 1,500 pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal serta strategik menerusi Program Ijazah Luar Negara (PILN). Menarik mengenai PILN ialah pembiayaan itu ditawarkan mengikut empat kategori iaitu populasi kaum (60 peratus), kecemerlangan akademik (20 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (10 peratus), manakala golongan ‘socially disadvantaged’ (10 peratus). PILN adalah bukti pendemokrasian pendidikan, sekali gus bebas daripada persepsi bahawa biasiswa itu untuk membiayai sekelompok pelajar tertentu dan mengabaikan sekelompok pelajar lain yang layak.
Jika diukur dari segi wang ringgit, pelaburan untuk menjayakan PILN sangat besar sedangkan pelajar yang terbabit boleh dianggap kecil. Namun, jika melihat kesan atau hasil pelaburan itu dari sudut lebih bijak, ternyata memang ada tuntutan atau keperluan untuk kerajaan menyediakan tenaga profesional bagi menggerakkan pelbagai sektor profesional, kritikal mahupun yang bersifat strategik. Semua sektor yang bersifat demikian adalah penting digerakkan oleh tenaga pakar di kalangan anak watan berbanding kebergantungan kepada tenaga pakar asing yang boleh meninggalkan kita pada bila-bila masa saja jika memperoleh tawaran lebih lumayan di tempat lain. Justeru, kerajaan harus ada mekanisme kawalan tertentu supaya pelajar yang diacu menjadi tenaga pakar ini menumpahkan taat setia serta bakti kepada negara. Ada puluhan ribu pelajar kita yang enggan pulang selepas menamatkan pengajian di seberang laut. Mereka yang sebahagiannya pemegang biasiswa kerajaan akhirnya ‘lesap’ dan bermastautin di negara orang. Mereka mencurahkan kepakaran di syarikat asing kerana faktor tarikan gaji yang berganda lumayannya di sana. Mereka mengetepikan atau lupa semangat kenegaraan, kebangsaan atau keperluan membalas jasa kepada negara. Semoga ini tidak berlaku kepada pemegang biasiswa PILN kerana tenaga dan kepakaran mereka sangat diperlukan oleh rakyat dan negara ini.
Berita Harian:7 April 2010
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.