KOLEKSI ISTIMEWA

Monday, May 10, 2010

PDRM wajar perkemas prosedur anggota elak kredibiliti dipertikai

TIGA kes anggota polis menembak remaja dalam masa dua minggu terus menjadi perbualan hangat. Kejadian itu serta-merta mengundang reaksi yang pelbagai daripada umum, pertubuhan bukan kerajaan, cendekiawan sosial mahupun pemimpin parti politik. Kes masing-masing berlaku di Shah Alam, Jalan Genting Klang di ibu negara dan Seremban. Rentetan kejadian ini mungkin menuntut Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meneliti semula mana-mana bahagian yang tidak jelas atau longgar dalam prosedur anggotanya ketika tugasan termasuk rondaan, operasi dan sekatan jalan raya. Sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhak mempertahankan tindakan anggotanya dalam kes di Shah Alam. Begitu juga, ada asas apabila Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, memberitahu seorang konstabel digantung tugas serta-merta selepas dipercayai menembak seorang remaja yang enggan memberhentikan motosikal ketika diminta berbuat demikian di Seremban, tiga hari lalu, kerana bertindak tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepadanya. Apabila orang ramai semakin prihatin memperjuangkan hak dan kebebasan, pada satu sudut lain PDRM juga perlu memastikan tindakan anggotanya dilakukan dengan cermat, berhemah serta mengikut peraturan supaya tindakan mereka tidak menimbulkan keraguan atau pertikaian. Memang terbukti ada kes menunjukkan anggota polis bersalah ketika menjalankan tugas dan masing-masing sudah dihukum. Namun masyarakat juga mesti bersikap rasional dan tidak beranggapan kes begini mencerminkan keseluruhan 120,000 pegawai dan anggotanya sebagai tidak berwibawa atau rendah profesionalisme kepolisan mereka. Tanpa niat merendahkan profesionalisme PDRM, bersikap umpama pepatah ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’ ketika berurusan dengan masyarakat tidak bermakna polis ada kompromi dalam membanteras jenayah serta mendaulatkan undang-undang.

Dalam Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) mengurangkan kadar jenayah pun ada disebut mengenai tiga tunggak usaha PDRM meningkatkan rasa selamat rakyat, termasuk ‘berhenti dan berbual’. Konsep ini pastinya menuntut anggota polis bersikap ramah dan mesra dengan orang ramai kerana kewujudan hubungan dua hala ini memberi kesan sangat besar ke arah matlamat mengurangkan jenayah. Pada masa sama, PDRM perlu melihat kemungkinan keperluan mendedahkan anggotanya kepada kursus berkala untuk membugarkan profesionalisme kepolisan. Malah sesi begini boleh digunakan untuk menokok apa saja maklumat yang boleh meningkatkan mutu kerjaya. Sebagai organisasi yang dipertanggungjawab mendaulatkan undang-undang dan menjaga keamanan, PDRM perlu mempersiapkan seluruh pegawai serta anggota untuk menghadapi hakikat bahawa rakyat negara ini sedang melalui transformasi minda, sikap dan pendirian yang meletakkan mereka lebih bersikap telus dan terbuka (yang bukan bererti menentang) dalam semua perkara. Dari sudut lain, mungkin ada pihak mengambil kesempatan memutar belit kejadian seperti ini untuk memburuk organisasi perkhidmatan awam di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Perkara ini turut didedah Presiden Cuepacs, Omar Osman, yang mengakui ada pihak cuba menghasut penjawat awam supaya membenci kerajaan. Justeru, usaha sama pasti dilakukan pihak sama untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

Berita Harian:10 Mei 2010

1 comment:

  1. harap-harap jenayah tidak berlaku pada kita atau keluarga kita atau rakan-rakan kita...

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.