KOLEKSI ISTIMEWA

Thursday, June 10, 2010

Cuti bersalin 90 hari mampu pastikan wanita terus bekerja

UMUM berpendapat, cuti bergaji 60 hari untuk ibu bersalin di negara ini tidak memadai. Mereka bukan saja melalui kepayahan fizikal ketika proses melahirkan anak, malah terpaksa menghadapi masalah emosi. Begitulah antara rangkap ayat dalam kempen mengumpul sejuta tandatangan '90 Hari Untuk Ibu' yang dilancarkan 8 Mac lalu bagi menyokong petisyen khas menuntut cuti bersalin ditambah 30 hari lagi, yang tamat 6 Jun lalu.

Fokus sekarang ialah perjuangan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) memperoleh cuti bergaji 90 hari untuk ibu bersalin, sekali gus meletakkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam dilema. Persoalan sekarang ialah sama ada tambahan cuti 30 hari itu wajar diberi dengan bergaji penuh, tanpa gaji atau dikongsi antara suami dan isteri. Wanita adalah penyumbang utama tenaga kerja negara dalam pelbagai sektor.
Seramai 5.1 juta wanita bekerja menggerakkan operasi pelbagai sektor, jabatan serta perkhidmatan. Negara seperti Belanda dan Singapura memberi keistimewaan kepada ibu bersalin dengan cuti bergaji selama empat bulan. Negara jiran – Thailand, Indonesia dan Kemboja pula sudah melaksanakan cuti bergaji selama 90 hari. Malaysia masih belum membuat keputusan sama ada mahu menurut jejak langkah kebanyakan negara jirannya atau mempunyai cara lain yang lebih sesuai. Umum sedar, ibu yang bersalin memerlukan perhatian, pembelaan, pemulihan dan membina semula keupayaan selepas melalui proses paling ‘payah dan menyakitkan’ itu. Proses itu harus berjalan serentak dengan pembinaan sahsiah seorang bayi untuk menjadi seorang anak dan warga negara berguna.
Seperti di Kemboja, syarikat diminta meluangkan masa 30 minit sehari untuk ibu menyusukan bayinya. Bagi yang mempunyai lebih 100 kakitangan wanita, syarikat perlu menyediakan bilik penyusuan dan pusat jagaan harian. Operasinya dibiayai oleh syarikat. Jelas, pembelaan untuk ibu bersalin dan mewujudkan sistem penjagaan bayi apabila ibu mulai bekerja adalah sangat mendesak. Shahrizat tidak boleh mengetepikan tuntutan ini dengan alasan kos atau ruang. Akta Pekerja 1955 perlu dipinda untuk membela fitrah wanita dan bayinya. Majikan juga mesti dibabitkan sama kerana mereka tidak mungkin boleh menafikan lagi sumbangan tenaga kerja wanita dalam syarikat atau jabatan masing-masing.

Majikan jangan melihat keperluan memberi cuti bersalin 90 hari serta penyediaan pusat jagaan di premis kerja sebagai tekanan atau paksaan. Sebaliknya, ini satu keperluan yang mampu meningkatkan produktiviti dan memperbaiki rekod kehadiran tenaga kerja wanita yang selama ini kerap dibebani dengan masalah anak.

Pastinya, cuti bersalin 90 hari dan mewujudkan pusat jagaan bayi serta kanak-kanak juga akan menyelamatkan ramai wanita berkemahiran dan profesional daripada berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa kepada bayi seperti berlaku kepada kebanyakan ibu muda sekarang. Keputusan berhenti kerja sebaik bersalin merugikan negara.

Berita Harian :10 Jun 2010

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.