expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, August 7, 2010

Bayi dalam lubang paip

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Di manakah sifat perikemanusiaan apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup meninggalkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate dekat sini hari ini.

Bayi malang itu hanya muat-muat dalam lubang paip itu. Memang sukar untuk ditemui atau dilihat orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Namun hayat bayi tidak berdosa itu panjang apabila tangisannya didengari oleh seorang remaja lelaki yang secara kebetulan bermain tidak jauh dari situ pada pukul 3 petang ini.

Tangisan bayi terbabit menarik perhatian remaja berusia 17 tahun itu menyebabkan dia sanggup turun ke dalam longkang setinggi hampir tiga meter dan merangkak ke dalam longkang sejauh kira-kira dua meter sebelum menemui bayi berkenaan.

Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan bogel dan masih bertali pusat.

Mujurlah bayi itu ditemui sebelum hujan kerana lubang paip tersebut merupakan saluran air ke dalam longkang semasa hujan.

Remaja terbabit, Jamaluddin Mawardi (gambar), 17, berkata, dia sedang bermain di kawasan semak berhampiran longkang itu apabila tiba-tiba terdengar suara bayi menangis.

"Saya tercari-cari dari mana datangnya bunyi tangisan tersebut dan mendapati ia datang dari arah dalam longkang besar di situ.

"Perasaan ingin tahu menyebabkan saya sanggup masuk ke dalam longkang dan mengintai ke dalamnya. Saya terkejut apabila mendapati bunyi tangisan itu datang dari seorang bayi dan terus merangkak masuk ke dalam terowong untuk menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Menurut Jamaluddin, sebaik sahaja sampai di lubang paiptempat bayi itu ditinggalkan, dia bertambah terkejut apabila melihat kaki bayi terbabit terjulur keluar namun kepala dan badannya tidak kelihatan kerana tersumbat di dalam lubang paip.

Katanya, dia segera menarik keluar bayi itu yang diselaputi lumpur sebelum membawanya kepada penduduk kawasan berhampiran dan pemilik stesen minyak itu.

Sementara itu, isteri kepada pemilik stesen minyak Petronas Klang Gate, Fadzilah Abd. Majid, 50, berkata, perkara pertama dilakukan sebaik sahaja mendapatkan bayi malang itu ialah menyusukannya kerana simpati melihat keadaannya yang pucat dan kelaparan.

"Saya kemudian membersihkan badan bayi itu yang dipenuhi lumpur dan memakaikan pakaian sebelum menghubungi polis," katanya.

Bayi tersebut kemudian dihantar oleh sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut.

Beliau berkata, polis sedang mengesan ibu bayi terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Abdul Jalil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi ini agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kes buang bayi terbaru ini menyusul sehari selepas penemuan seorang bayi lelaki dalam kotak di tepi kereta berhampiran sebuah kedai serbaneka oleh seorang pelajar politeknik di Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

Sumber:Utusan Online 7 Ogos 2010

5 comments:

  1. makin kempen dibuat..makin banyak pulak kes macam ni..sedih betul remaja sekarang ni..

    ReplyDelete
  2. dunia akhir zaman..
    semoga mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu mendapat petunjuk daripadaNya

    ReplyDelete
  3. manusia semakin kejam..semakin hari semakin kerap aku dengar kes pembuangan bayi ni..undang2 xdiendahkan langsung oleh golongan yang tak bertanggungjawab ni..adeh..

    ReplyDelete
  4. zalimnye..sepatutnye hukum diperketatkan lg..

    ReplyDelete
  5. salam..
    kes seperti ini semakin berleluasa & menjadi-jadi sejak akhir2 ini..ramai melayu yg terlibat..entahlahh

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.