KOLEKSI ISTIMEWA

Tuesday, February 22, 2011

Christchurch seperti zon perang

KUALA LUMPUR: Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 magnitud melanda wilyah itu hari ini.

"Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah berada di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak," kata Abdullah Mohd Nawi ketika dihubungi Bernama.
Pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Canterbury itu berkata, beliau sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.
"Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans," katanya.

Beliau berkata, orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan bangunan jika berlaku gempa susulan.

"Ketika itu, hendak jalan memang sukar kerana terpaksa mengharungi air yang keluar di sebalik rumput akibat gempa bumi dan difahamkan ia adalah air kumbahan yang pecah di bawah tanah dan bayangkan situasi ketika itu yang amat busuk," katanya.

Beliau juga dapat melihat beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan meminta tolong dengan melambai-lambai menggunakan baju supaya dapat dilihat oleh pihak penyelamat.
Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur kerana selain beliau, isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.

Kejadian gempa yang melanda pada waktu tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

Bagaimanapun Wisma Putra melaporkan semua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar berada dalam keadaan selamat.

Ini adalah kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas gegaran sekuat 7.1 magnitud pada September lalu yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastrukturnya.

Sementara itu, bekas editor bersekutu The Star, Hah Foong Lian yang mengikuti pengajian peringkat PhD di sana berkata beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya berada dalam keadaan baik. Agak terkejut dengan kejadian itu. Rumah yang saya diami juga masih utuh, tetapi di hujung jalan seorang wanita terbunuh di bawah runtuhan kedai buku," katanya menerusi emel kepada Bernama.

Katanya, laporan media menyebut 65 terbunuh manakala 100 lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Seorang lagi pelajar PhD dari Universiti Lincoln, Tuan Ahmad Tuan Ismail berkata, situasi di sekitar bandar Lincoln yang terletak kira-kira 20 km dari Christchurch agak huru-hara.

"Jalan raya sesak, ada kawan saya tereprangkap dalam kereta selama tiga jam semasa hendak ambil anak dia di tadika...situasi kacau-bilau apatah lagi sudah keluar arahan darurat yang mana semua kena duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar," katanya.

Katanya, semua kedai dan pasar raya juga ditutup berikutan kejadian itu.

"Nasib baiklah saya baru beli baru-baru (keperluan harian) ini jadi adalah sedikit stok makanan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online 22/2/11

4 comments:

  1. Tak dapat nak bayangkan keadaan itu..tentu amat trauma bagi mereka yg mengalaminya..

    ReplyDelete
  2. turut simpati..terutama kawan anak saya yang baru ke sana pada 18hb..saya pun dapat panggilan dari kenalan tentang anak saya yang baru pergi juga ke Auckland...takat ni okey semua di tempat nya.

    ReplyDelete
  3. dah tgk tv3 semalam, memang havoc kat sana. tak sangka pulak New Zealand tu trletak kt lingkaran api pasifik

    ReplyDelete
  4. negara kita pun ada juga berlaku gempa skrg ni..pernah blaku gempa kecil kat dlm dasar tasik kenyir..

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.