Foto hiasan, koleksi KM7 |
Membeli-belah atau shopping sudah menjadi kebiasaan atau kemestian bagi kebanyakan kita. Cuma sebanyak mana kita menghabiskan wang semasa membeli-belah itu bergantung kepada kemampuan masing-masing. Ada orang setiap hujung bulan banyaklah membeli-belah sebab ketika itu poket masih penuh. Kadang-kadang kita membeli sesuatu yang tidak diperlukan, cuma sekadar terpedaya dengan iklan jualan murah dan sebagainya. Berikut saya ingin berkongsi tips sebelum atau semasa kita membeli-belah supaya tidak terbeli sesuatu di luar perancangan.
1. Membuat senarai barangan yang ingin dibeli.
Langkah ini memang menyelamatkan kita supaya tidak membeli barangan lain yang tidak diperlukan. Ramai dalam kalangan kita tidak membuat senarai barangan yang hendak dibeli. Apabila tiba di pasar raya mulalah tengok sana berkenan, tengok sini berkenan. Membuat senarai barangan yang hendak dibeli bukan susah sangat pun, perlukan pen dan kertas saja. Kalau malas menulis, sebut saja barang yang hendak dibeli, suruh anak-anak catatkan. Semasa membeli-belah di pasar raya, jangan beli barangan yang tidak ada dalam senarai kita.
2. Jangan shopping semasa 'sale'.
Sekali dengar macam janggal saja. Percayalah, kalau kita pergi membeli-belah semasa 'sale' besar-besaran, kita akan membeli banyak barangan yang tidak diperlukan sangat. Kita cuma tertarik dengan harganya yang mungkin murah sedikit jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Dengan kata lain, kita sudah membeli sesuatu di luar keperluan harian keluarga kita. Silap haribulan boleh terlebih bajet.
3. Elakkan membawa suami atau isteri.
Isteri memang sukalah bab-bab shopping ni. Lebih meriah lagi kalau suami yang tolong bayarkan. Saya cadangkan kalau suami nak pergi shopping, jangan bawa isteri, sebab isteri ini suka sangat membeli perkara-perkara yang tak berapa perlu. Isteri pula jangan bawa suami sebab apabila tiada suami di sisi tak adalah orang yang akan tolong bawakan hasil shopping mereka yang banyak itu, maka mereka tak jadilah nak membeli dalam kuantiti yang banyak.
4. Jauhi promoter atau jurujual
Semasa memilih barangan, kita biasanya dihampiri promoter atau jurujual yang nak promosi barangan mereka. Cakap saja terima kasih kepada mereka. Jangan beri peluang mereka terus 'berkempen', kalau tidak kita pasti terpedaya dengan mulut manis mereka. Ingat......kita nak beli barang yang sangat diperlukan saja yang sudah disenaraikan.
5. Jangan bawa wang yang banyak
Langkah ini memang selamat...Agak-agak saja jumlah wang yang diperlukan untuk membeli barangan keperluan. Kalau banyak sangat wang yang dibawa, mulalah berkira-kira nak beli sesuatu yang membazir saja! Boleh juga tinggalkan wang atau kad kredit dalam kereta. Kalau kita nak beli sesuatu yang tak dirancang, kita kena fikir dua kali untuk pergi mengambil wang dalam kereta yang mungkin di 'parking' jauh.
6. Hanya ke tempat barangan yang perlu saja
Kalau kita dah biasa pergi ke sesebuah pasar raya, mungkin kita dah tahu tempat barangan yang hendak dibeli itu berada di tingkat berapa. Jadi terus saja ke sana tanpa perlu jalan-jalan di bahagian lain. Kebanyakan belian yang tidak perlu ini berlaku apabila mata kita tertarik melihat sesuatu yang dipamerkan.
7. Elak membawa keluarga makan di pusat membeli-belah atau mall
Biasa apabila dapat gaji, kita akan bawa keluarga makan-makan kat luar. Sekarang banyak mall yang turut menempatkan restoran makanan segera dan sebagainya. Selesai makan-makan terjadilah acara meronda-ronda kat pusat membeli-belah tersebut. Maka terbelilah barangan yang tak dirancang. Kalau nak keluar makan juga, pilihlah restoran yang agak jauh dari pusat membeli-belah.
Itu saja sebahagian tips yang saya nak kongsi dalam entri ini. Bagi yang merancang dalam berbelanja, bolehlah cuba amalkan. Ketika harga barangan semakin mahal ini, eloklah kita belanjakan wang untuk perkara-perkara yang perlu sahaja. Semoga bermanfaat.
yang no 7 tu kalau sekali sekala apa salahnya...diaorg nak merasa jugak makan luar..asyik makan kat umah je, bosan plak nnt.
ReplyDeletewah menarik juga tips ni... mmg skrg kena jimat cermatkan...
ReplyDelete