KOLEKSI ISTIMEWA

Thursday, December 17, 2015

Jaga Solat dan hubungan dengan Ibu bapa



Meraikan detik kegembiraan menggenggam segulung ijazah bersama orang tersayang khususnya ibu bapa, adalah saat yang paling berharga bagi seseorang pelajar. Itulah hadiah paling istimewa buat keluarga tercinta sebagai tanda penghargaan atas usaha dan penat lelah memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran. Ajwad bin Zahari bekas pelajar SMKAM SPM 2008 ini ada resepi tersendiri untuk berjaya dalam pelajaran. 



"Sentiasa jaga solat dan mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa" itulah resepi utama kejayaannya. Semasa di alam persekolahan dan sepanjang bergelar mahasiswa, Ajwad sering menyimpan niat tidak mahu mahu menyusahkan keluarganya, kerana mereka bukanlah orang senang. "Ayah pesara pekerja rendah am dan ibu pula suri rumah" ujar anak sulung daripada 5 beradik ini. Dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.



Alhamdulillah Ajwad telah berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Malaya. "Apabila niat kita baik untuk membantu ibu bapa dan keluarga, Allah akan mempermudahkan segala urusan" katanya yang menerima biasiswa sepanjang pembelajaran, dan menerima Anugerah Penghormatan Pengarah setiap semester semasa menuntut di peringkat matrikulasi di Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah.

Ajwad pernah bekerja di syarikat swasta sebagai Account Executive selama 7 bulan, sebelum bekerja di sektor awam. Kini Ajwad bertugas di ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya sebagai Pegawai Kanan Kastam.


Kepada semua yang masih bergelar pelajar, jagalah solat anda, dan jaga hubungan dengan ibu bapa. In sha Allah, akan dipermudahkan segala urusan. Tahniah kepada Ajwad yang telah berjaya dalam pelajaran dan mempunyai kerjaya tetap. Semoga terus menjadi anak yang baik dan berbakti kepada  kedua ibu bapa dan keluarga.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.