expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, April 19, 2016

5 Kunci Kebahagiaan


Kebahagiaan, menjadi idaman semua orang. Apalah erti hidup seandainya tiada sinar kebahagiaan biarpun seketika. Persoalannya, adakah kita perlu mencari kebahagiaan itu? atau kebahagiaan itu akan datang sendiri apabila tiba masanya. Biar apapun persoalannya, mari kita singkap kunci ke arah kebahagiaan, khususnya kebahagiaan dalam sesebuah keluarga atau rumahtangga. Ada banyak rupanya kunci kebahagiaan, tapi saya ingin merungkaikan 5 sahaja mengikut kaca mata sendiri.




Keluarga bahagia mestilah bermula dengan pemilihan pasangan hidup yang sesuai. Tidak kiralah sama ada pasangan hidup yang dicari sendiri atau diatur oleh keluarga mahupun sahabat handai. Dalam konteks suami isteri ini, mereka saling melengkapi dengan disulami kasih-sayang seterusnya membentuk sebuah persefahaman. Keluarga bahagia akan terbentuk apabila dalam sesebuah keluarga itu dipenuhi kasih-sayang antara satu sama lain. Jika ada perselisihan faham, carilah penyelesaian terbaik bagi meneruskan kelangsungan hidup berkeluarga. Alangkah bertuahnya bagi pasangan suami isteri yang kekal bahagia hingga ke akhir hayat.




Kehidupan adalah satu realiti. Kalau tidak mempunyai kerjaya yang boleh menjamin masa depan, macamana kita akan menikmati kebahagiaan. Kalau semua perkara perlukan duit, maka kita perlu ada kerjaya sendiri untuk menampung perbelanjaan sendiri dan keluarga. Banyak juga kes perceraian disebabkan masalah kewangan yang membelenggu sesetengah keluarga. Jadi untuk bahagia, pastikan kita berusaha untuk mendapatkan kerjaya tetap yang sesuai dengan minat dan kebolehan. Ada orang merasakan tidak bahagia biarpun bergaji tinggi kerana kerjaya yang disandang itu tidak memenuhi citarasa dan keinginan. Tiada kepuasan dalam kerjaya turut menyumbang kepada hidup tidak bahagia.




Anak-anak menjadi penyeri keluarga. Bersyukurlah jika dikurniakan zuriat oleh Tuhan, menjadi pengikat kasih-sayang dalam keluarga. Alangkah bahagianya melihat anak-anak membesar di hadapan mata sendiri. Biarpun sedikit penat dalam melayan kerenah mereka, tapi mereka tetap menjadi penghibur kita. Dalam dunia serba mencabar ini, ibu bapa tidak mempunyai banyak waktu untuk bersama anak-anak mereka. Jangan jadikan kesibukan ini sebagai alasan untuk tidak mengambil tahu segala permasalahan anak-anak. Sebagai ibu bapa, sudah tentu menginginkan  anak-anak dapat membahagiakan mereka suatu hari nanti. Jelaslah, anak-anak juga menyumbang kepada kebahagiaan sesebuah keluarga. 




Kebahagiaan sesebuah keluarga juga disumbangkan oleh keperluan asas yang mencukupi. Apabila makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan asas dimiliki oleh sesebuah keluarga, maka mereka dapat mejalani kehidupan seharian dengan tenang dan harmoni. Siapa bertanggungjawab menyediakan segala keperluan asas ini? Mestilah suami, sebagai ketua keluarga. Amat malang sekiranya ada dalam kalangan suami yang sihat fizikal dan mental, hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan susah payah isteri bekerja menyara keluarga. Perkahwinan adalah satu perkongsian, maka sama-samalah bertimbangrasa dalam melengkapkan keperluan asas keluarga.




Saya berpendapat persekitaran tempat tinggal juga boleh mempengaruhi kebahagiaan keluarga. Kalau tempat tinggal itu dipenuhi permasalahan sosial, sedikit sebanyak akan memberi impak kepada keluarga kita. Anak-anak yang terdedah kepada persekitaran yang kurang baik akan menyumbang kepada perkembangan diri yang negatif sekiranya tidak mendapat bimbingan sewajarnya daripada ibu bapa dan masyarakat. Tambahan pula masyarakat hari ini tidak gemar menyusahkan diri mereka dengan masalah jiran tetangga. Orang kata jiran sepakat membawa berkat! Macamana hendak mendapat keberkatan itu sekiranya masing-masing membawa hal sendiri?. Alangkah bahagianya hidup ini apabila dikelilingi jiran tetangga yang juga hidup bahagia.

Sama-samalah kita berusaha untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Biar apapun cabaran dan halangan yang datang, itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Paling utama, jangan lupakan Allah. Sentiasalah berdoa kepadaNya agar dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia. Hidup ini sementara sahaja, jangan sia-siakannya. Selagi hayat dikandung badan, bahagiakanlah orang-orang di sekeliling kita.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.