Berkunjung ke Kuantan tidak lengkap rasanya kalau tidak singgah di Taman Esplanade yang terletak di tebing sungai Kuantan. Taman yang dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak dan kerusi rehat ini sesuai untuk bersantai sambil menunggu anak-anak bermain. Paling saya suka, kawasannya sangat bersih kerana tidak terdapat bekas-bekas makanan dan minuman di merata tempat seperti di kebanyakan tempat yang menjadi kunjungan ramai. Tahniah buat warga Kuantan yang sama-sama menjaga kebersihan di tempat awam.
Menelusuri tebing sungai Kuantan sungguh mendamaikan pada waktu petang. Sesuai juga untuk berjoging bersama rakan mahupun ahli keluarga. Kalau ingin makan atau minum, tak perlu risau kerana terdapat deretan kedai makan menghadap terus ke sungai Kuantan. Pada sebelah petang dan malam, kita dapat melihat aktiviti memancing di sini.
Menurut catatan sejarah, di lokasi inilah bermulanya penempatan awal penduduk bandar Kuantan yang dikatakan berasal dari satu daerah yang bernama Kuantan di Sumatera. Pedagang Sumatera dikatakan menggunakan Kuala Sungai Kuantan untuk mendarat dagangan mereka.
Kepada yang berkunjung ke Kuantan, bolehlah singgah di sini. Ketenangan dan kebersihan Taman Esplanade dan tebing sungai Kuantan ini pasti mendamaikan sesiapa sahaja yang ingin bersantai di sini.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.