Rumah usang ini mengembalikan nostalgia
aku, kau atau sesiapa sahaja yang ada kenangan tentangnya.
Dahulu, rumah ini menjadi saksi
cerita suka duka kita sekeluarga.
Ayah, jerit perihmu membanting tulang
dengan kudrat tua untuk menyekolahkan kita
Ibu, melayan penuh kasih sayang kerenah kita
adik-beradik dengan pelbagai ragam.
Hari ini rumah tua itu
semakin sepi tanpa penghuni.
Ayah dan ibu telah lama pergi menghadap Ilahi.
Dan kita, dengan haluan masing-masing
dengan kehidupan tersendiri.
malah kemesraan kita semakin menghilang
biarpun kita dari darah daging yang sama.
Syawal yang menjelma nanti
adakah akan mengumpulkan kembali kita semua
di rumah usang ini?
mengembalikan kenangan lama antara kita,
keriangan bermain bunga api malam raya,
berebut-rebut mengumpul duit raya keesokannya.
paling syahdu, bersalaman dan mengucup dahi
kedua ibu bapa tersayang di pagi raya
memohon kemaafan atas kesilapan lalu.
Abang, kakak, dan adik-adikku
berjanjilah,
Syawal nanti kita akan bersatu semula
di rumah usang itu semata-mata
menggembirakan ayah dan ibu kita
biarpun mereka sudah tiada lagi di dunia ini.
Buangkan jauh-jauh ego dan dendam antara kita
kerana semua itu tidak menjanjikan apa-apa.
Sungguh bererti
seandainya Syawal ini bisa menyatukan kita kembali
di rumah usang ini,
sebelum ia terus dimamah waktu
dan tersungkur ke bumi,
membawa bersama semua kenangan
yang pernah kita lalui bersama suatu waktu dahulu.
Salam Syawal,
Kembaraminda7
13 Jun 2016.
entry yang penuh bermakna. semoga semuanya di permudahkan.
ReplyDeletesemoga ukhwah kembali terjalin pd syawal nani di rumah pusaka berkenaan...
ReplyDeletegood entry..
ReplyDeleteAssalam Cikgu Ghazali...maaf dipinta x sempat kita bersua semasa saya bertugas di Kelate.
ReplyDeleteRindunya dengan suasana macam ni, teringat kenangan membesar di kampung bersama adik.
ReplyDeletebest kalau berkumpul semua..
ReplyDelete