Memiliki telefon pintar dengan kemudahan internet seolah-olah menjadi keperluan dalam dunia hari ini. Perhatikan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja masyarakat kita akan membelek-belek telefon bimbit mereka sekalipun berada di tempat awam mahupun sedang makan bersama keluarga di restoran! Apakah kemudahan internet ini bakal melahirkan satu generasi yang hanya pandai berinteraksi secara maya tanpa mengendahkan persekitaran realiti mereka? Sebagai generasi yang pernah berada dalam dua zaman berbeza ini, saya terpanggil untuk melontarkan sedikit idea sekadar renungan bersama.
Memerhatikan gelagat anak-anak muda hinggalah ke peringkat warga emas yang terlalu taksub dengan aplikasi whatsApp menimbulkan persoalan di minda saya, apakah yang sering dibualkan atau menjadi topik dalam setiap group whatsApp yang disertai? Kalau sekadar berbual-bual kosong dengan isu yang sama setiap hari, alangkah lebih bermanfaat kalau masa berwhatsApp itu digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah. Bergosip sana-sini boleh menimbulkan kemarahan pihak tertentu. Tidak kurang juga ada yang bertemu semula rakan lama dalam group whatsApp bergurau senda seolah-olah lupa status terkini sebagai suami atau isteri orang!
Saya bukanlah terlalu negatif dalam hal penggunaan internet terutamanya dalam media sosial pada masa kini. Cuma saya merasakan ramai dalam kalangan pengguna internet tidak mengambil ruang dan peluang kemudahan internet untuk meningkatkan keupayaan diri, masyarakat dan organisasi ke arah yang lebih maju dan berdaya saing. Mudah saja, cuba kita jumlahkan masa dalam sehari yang dihabiskan untuk membuka facebook, whatsApp, instagram, wechat dan segala macam aplikasi terkini. Penting juga, cuba teliti apakan aplikasi tersebut memberi impak yang positif kepada kita dari sudut sahsiah, ekonomi mahupun intelektual?
Internet bukanlah seburuk yang disangka. Kalau kena caranya, kita boleh menjadi seorang yang sangat berjaya terutamanya dalam bidang perniagaan. Penggunaan internet yang meluas telah menjadikan pasaran produk dan perkhidmatan semakin berkembang. Bukan sedikit mereka yang telah berjaya menjadi usahawan terkemuka selari dengan perkembangan media sosial. Satu kerugian bagi mereka yang tidak tahu atau tidak mahu menggunakan internet dalam memasarkan perniagaan mereka. Susah juga kalau masih ada yang menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi hari ini.
Dalam soal penyebaran maklumat pula, sangat mudah, murah dan cepat. Sesiapa sahaja boleh mengemukakan pendapat menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu. Cuma penerimaan netizen terhadap isu yang diketengahkan itu mungkin berbeza. Apatah lagi kalau kita bukanlah sesiapa berbanding mereka yang sudah ada nama. Justeru, ada yang ingin menjadi popular dengan melakukan sesuatu yang boleh menjadi viral dalam media sosial. Ambillah peluang popular dalam media sosial untuk mengetengahkan bakat, kebolehan atau apa sahaja yang boleh membawa kebaikan kepada diri, masyarakat, agama mahupun negara.
Justeru, saya sangat percaya bahawa kemudahan internet akan membawa banyak manfaat sekiranya digunakan dengan betul dan berwawasan. Penggunaan internet dalam kalangan anak-anak patut dipantau oleh ibu bapa. Kalau dibiarkan mereka membuat keputusan sendiri, rasanya banyak unsur yang negatif atau membuang masa menjadi pilihan. Paling tidak pun, jadilah role model atau suri teladan kepada anak-anak muda dengan menggunakan internet untuk perkara-perkara yag berfaedah.
Jangan pula setiap hujung bulan, banyak wang dihabiskan untuk membayar bil internet kepada syarikat telco sedangkan keuntungan kepada pihak pengguna tiada! Kalau kita boleh membayar puluhan malahan ratusan tinggit untuk bil internet, kenapa tidak kita dapatkan puluhan atau ratusan ringgit juga sebagai hasil penggunaan internet? Fikir-fikirkanlah.
Jangan pula setiap hujung bulan, banyak wang dihabiskan untuk membayar bil internet kepada syarikat telco sedangkan keuntungan kepada pihak pengguna tiada! Kalau kita boleh membayar puluhan malahan ratusan tinggit untuk bil internet, kenapa tidak kita dapatkan puluhan atau ratusan ringgit juga sebagai hasil penggunaan internet? Fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.