KOLEKSI ISTIMEWA

Wednesday, June 17, 2020

Benarkah Pokok Snake Plant Merbahaya jika diletakkan di dalam Rumah?


Apa istimewanya pokok snake plant atau lidah jin ini sehingga menjadi tular atau viral pada tahun 2020? Saya rasa mesti ia ada kaitan dengan berita bahawa pokok ini boleh menyerap habuk sekiranya diletakkan di dalam rumah. Biar apapun kelebihan pokok ini sama ada dibuktikan secara saintifik atau tidak, ia tetap kelihatan elegan apabila kena cara hiasannya. Tidak hairanlah saya pun terjebak untuk memilikinya, sepohon jer pun dalam gambar di atas.


Ini pokok snake plant di rumah emak saya. Tanam dalam pasu, letak depan stor jer. Mak tak mahu letak dalam rumah. Pasal habuk tu, kena rajin menyapu sendiri, jangan harapkan pokok ini meyapu untuk kita. Kalau nak kata menyerap habuk, tak nampak pula dengan mata kasar. Apa yang kita belajar di sekolah dulu, pokok mengeluarkan oksigen yang diperlukan oleh manusia. Jadi eloklah ada pokok-pokok yang banyak di sekeliling kita. Selain boleh menyedut oksigen, dapat juga menyegarkan mata.

Saya tertarik melihat banyak dekorasi menggunakan pokok snake plant sekarang. Memang nampak elegan jika diletakkan dalam pasu putih yang tinggi. Ada peminatnya yang meletakkan di ruang tamu, ruang keluarga, meja makan, malah sampai ke bilik tidur. Sungguh tinggi martabat snake plant tahun ini. Siapa sangka! Di nurseri, harga pokok ini sudah melambung tinggi. Kalau dulu, pokok ini cuma menjadi hiasan pagar rumah di kampung-kampung.



Gambar ini juga pokok snake plant di rumah mak. Guna pasu biasa saja. Sebenarnya sudah lama mak tanam pokok ini sebelum ia viral lagi. Sebab itulah pasu lama belum bertukar lagi. Sekarang timbul pula isu pokok ini bahaya kalau termakan oleh anak-anak. Jadi kalau ada anak kecil di rumah, berhati-hatilah memilih tempat untuk diletakkan pokok hiasan ini. 

Saya percaya, peminat-peminat pokok ini sedaya upaya memikirkan cara untuk menjaganya supaya kekal cantik dan tidak memudaratkan kesihatan mahupun keselamatan penghuni rumah. Usah dinafikan minat atau hobi mereka yang meminati pokok hiasan ini dengan menyebarkan berita yang belum sahih daripada pihak berwajib. Jangan disebabkan kita tidak suka dengan sesuatu maka kita sebarkan perkara yang kurang tepat.

Terkini saya ada terbaca pasal meletakkan pokok snake plant yang ditanam menggunakan tanah, di dalam rumah juga mengundang masalah kesihatan. Alasannya tanah tersebut menjadi punca pembiakan mikroorganisma tertentu. Mungkin ada benarnya. Kalau betul cara penanaman dan penjagaan, ok jer kan. Lainlah kalau tanam kemudian dibiarkan saja, macam-macam spesis binatang boleh membiak dalam tanah. tersebut. 

Jadi bahaya atau tidak pokok ini sekiranya diletakkan di dalam rumah, bergantung kepada penjagaan kita. Seeloknya, terlebih dahulu kita kena belajar teknik penanaman pokok indoor yang betul supaya pokok terus subur dan tidak membahayakan. Ada banyak sumber cara penanaman pokok yang betul Google saja, pasti jumpa.

Selama mana pokok snake plant ini menjadi pujaan ramai, saya tak pasti. Mungkin suatu hari nanti pokok hiasan lain pula akan merampas takhtanya. Kita tunggu dan lihat.

4 comments:

  1. Lebih sesuai letak di luar rumah aje
    Sebab medium penanamannya mungkin boleh membawa mudharat kepada kesihatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul juga, kecuali yg sangat rajin menjaganya

      Delete
  2. Semoga yang pakat-pakat beli, tak hangat-hangat tahi ayam hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasalah tu, dah viral semua pakat berminat. Tapi tak ramai yg konsisten.

      Delete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.