expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, June 26, 2020

Tips Berkesan untuk mengurangkan Kemarahan


Seorang anak tanpa sengaja telah memecahkan pasu kesayangan ibunya. Seorang suami lewat pulang ke rumah kerana melepak bersama rakan. Seorang pelajar tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh gurunya. Seorang pekerja yang selalu ponteng kerja. Itu hanya sebahagian kecil situasi yang sering menimbulkan kemarahan kepada satu pihak yang lain. Lumrah kehidupan, kita tidak boleh lari daripada perasaan marah yang boleh membawa kepada terhasilnya perbuatan memarahi. Yang memarahi sering mendapat kepuasan, berbanding yang dimarahi akan memendam rasa tidak puas hati yang mungkin membawa kepada sebuah dendam.

Persoalannya, apakah cara yang kita boleh ambil untuk mengurangkan perasaan marah terhadap seseorang atau sesuatu perkara itu? 


Ada banyak cara, saya akan kemukakan beberapa cara sahaja mengikut pendapat peribadi saya sendiri. 

1. Marah tidak menguntungkan diri sendiri. 
Orang berniaga mestilah mengharapkan keuntungan daripada perniagaan. Ya, apa sahaja yang dikerjakan kita inginkan kebaikan daripadanya. Jadi sebelum kita marah, elok fikirkan dahulu apakah dengan memarahi seseorang atau sesuatu itu akan membawa keuntungan atau kebaikan kepada kita? Mungkin kita akan rasa lega apabila melepaskan kemarahan itu. Percayalah, itu hanya untuk satu jangka masa pendek saja. Bagi jangka masa panjang, hubungan kita dengan orang yang dimarahi itu pasti renggang atau kita akan dibenci dalam diam.

2. Berdiam diri apabila dimarahi. 
Cara ini nampak macam penakut kerana tidak melawan balik. Orang muda biasanya tidak boleh menerima saja kemarahan orang lain, mesti ingin menegakkan kebenaran biarpun kadang-kadang sekadar menegakkan benang yang basah. Tidak mengapa kerana kekuatan itu bukan hanya boleh melawan pihak lain, tetapi kekuatan juga diukur dari sejauhmana kita dapat melawan kemarahan diri sendiri. Orang yang matang tidak cepat melenting. Lebih menarik apabila orang yang memarahi itu akan bosan apabila kita berdiam diri tidak memberi sebarang respon kepada kemarahannya.

3. Mengingati kematian. 
Sebelum marah, eloklah diinsafi bahawa kita akan mati bila-bila masa. Bimbang tidak sempat untuk me mohon maaf kepada orang yang dimarahi. Lebih hebat lagi kalau kita dapat memaafkan saja orang yang sedang memarahi kita itu, juga mendoakan agar dia diberi keampunan oleh Tuhan. Tidak perlu tunjukkan kehebatan kita kerana dapat memarahi orang lain kerana kita semua berada di bawah langit yang sama. Sama darjat sebagai makhluk di sisi Tuhan, melainkan amalan terhadapNya.

4. Orang marah  cepat tua. 
Ramai yang bimbang cepat tua atau nampak tua lebih awal dari usia sebenar. Kenapa orang marah cepat nampak tua.? Apabila marah, muka akan masam. Apatah lagi kalau marah itu disertakan dengan merajuk. Orang yang selalu senyum akan kelihatan awet muda. Jarang orang marah sambil tersenyum kan! Jadi sebelum marah, ingat, kita nak kelihatan cepat tua atau tidak. 

Bukan senang untuk menahan rasa marah. Selalu terjadi, selepas menghamburkan kemarahan barulah tersedar dan rasa bersalah. Masa itu kita sudah hilang rasa hormat seorang kawan atau sekumpulan individu yang menjadi mangsa kemarahan kita. Boleh saja menegur kesilapan seseorang itu dengan cara berhemah tanpa marah! Sama-samalah kita berusaha untuk mengurangkan kemarahan. Ingatlah, hidup di dunia ini hanya sementara. Sayangilah dan hormatilah sesama manusia. Saling menerima kekurangan itu menjadikan kita lebih bermotivasi dalam hidup. 


3 comments:

  1. mmg betul nk menahan amarah tu bkn mudah. tp kdg2 bila kita bersabar, kita akan berada dlm keadaan lebih baik dan perasaan kita lebih terkawal.


    jemput join segmen shida ye KM7 :)
    http://www.duniashida.com/2020/06/segmen-bloglist-2020-blog-shida.html

    terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Mudah2an kita dapat mengawal kemaharan kita

    ReplyDelete
  3. Kadang2 tewas dengan nafsu amarah sendiri :(

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.