KOLEKSI ISTIMEWA

Tuesday, July 14, 2020

Berat Sama dipikul, Ringan sama dijinjing

Muhammad Hamizan b Zawawi 4IS

Peribahasa Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menurut Kamus Dewan edisi keempat bermaksud baik buruk sama-sama dipikul (semuafakat). Maksud lain, bermuafakat dalam melakukan sesuatu kerja, sama ada kerja itu susah ataupun mudah. Dengan kata lain, bekerjasama dalam melakukan sesuatu kerja.

Kini, tidak banyak dalam kalangan masyarakat kita hari ini yang mengamalkan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Masing-masing lebih mementingkan diri sendiri. Kalau dalam masyarakat dahulu, aktiviti gotong-royong menjadi perkara biasa di kampung. Sebutlah apa aktiviti, sama ada kenduri kahwin, menanam dan menuai padi, sehinggalah mengalihkan rumah dibuat secara bergotong-royong.

Ada yang memilih untuk menolong atau menyumbang tenaga untuk hal-hal yang ringan dan mudah saja. Apabila muncul hal-hal yang berat atau susah, tidak ramai yang ingin menolong. Lebih malang apabila mula menjauhkan diri. Sikap ini perlu dijauhi. Sepatutnya senang atau susah itu diharungi bersama. Barulah ada keharmonian dalam masyarakat.

Peribahasa lain yang mempunyai maksud yang hampir sama ialah Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Marilah kita sama-sama mengamalkan peribahasa Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam kehidupan bermasyarakat hari ini. 

2 comments:

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.